Selasa, Ogos 17, 2010

الآباتي

Pada suatu hari, seorang anak lelaki sedang berjalan-jalan di pekan. Hujung minggu yang biasa buat anak orang kebanyakan sepertinya, untuk membeli tak mampu, cukuplah sekadar mencuci mata sahaja. Tiba-tiba dia melewati sebuah kedai kasut, matanya secepat kilat menyambar kasut idamannya yang sedang dipamerkan.

"Promosi hebat sementara stok masih ada, sempena pembukaan cawangan baru kedai kami. Cepat! Cepat! Siapa cepat, dia dapat! Tawaran hebat, diskaun sehingga 50%"

Dia membaca ayat yang tertulis di atas kertas kecil yang melekap di dinding kaca kedai tersebut.

Fikiran anak mentah itu pantas membayangkan dia bergaya dengan kasut impiannya itu. Alangkah indahnya, dia menjadi perhatian rakan-rakan. Kereta yang laju memecut dari belakang membunyikan hon dengan tiba-tiba, mengejutkan anak itu dari lamunannya. Serta merta anak itu tersedar dari khayalannya dan mengelakkan diri dari menjadi penyumbang statistik kemalangan yang sedang meningkat sejak akhir-akhir ini.

Dia lantas meneruskan perjalanan. Kotak fikirnya ligat bekerja mencari jalan bagaimana untuk memiliki kasut itu. Sudah lama dia mengidamkan kasut itu, sekarang ialah masa yang terbaik untuk memilikinya. Namun, dia sedar keadaan keluarga yang mendesak tidak memungkinkannya untuk menyarung kasut semahal itu. Tidak, dengan ayah yang bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel, ibu yang sering sakit-sakit dan 5 orang adik lagi untuk ditanggung makan pakai dan belanja sekolah mereka, tak mungkin.

Mengenangkan kesusahan yang dilalui sejak matanya melihat dunia, memandang ke bawah dan melihat kasut yang dipakai mulai lusuh dan sudah bertahun tidak berganti, benar-benar melukakan hati kecilnya. Dia menggigit bibir menahan sebak. Apa yang dimengertikan oleh anak mentah persisnya? Kadang-kadang hati kecilnya bertanya,

"Mengapa kawan-kawan aku boleh bermain dengan gembira sedangkan aku harus membantu ibu dengan kerja rumah? Mengapa bapa selalu pulang lewat dan keluar awal pagi dan tak pernah meluangkan masa melayan karenahku? Tidakkah dia menyayangiku sebagaimana bapa orang lain menyayangi anak-anak mereka? Mengapa kami tak pernah keluar jalan-jalan macam keluarga lain di hujung minggu? Kenapa susah sangat untuk ibu tunaikan permintaanku? Mengapa aku lalui semua ni?"

Dan seperti biasa, monolog itu hanya tinggal monolog. Tidak pernah dia berani menyuarakan persoalan yang sering menyerang cepu fikir kepada sesiapa.

Tapi kali ini,jiwa kecilnya benar-benar tak mampu ditahan, betapa dia mengingini kasut itu, betapa selama ini dia telah penat memendam segala keinginannya, betapa cuma kali ini dia berharap kemahuannya dapat dipenuhi. Maka dia menanam tekad, bahawa kasut itu harus dimiliki walau dengan cara apa sekalipun!

Lalu, anak itu berlari pulang dengan harapan yang menggunung bahawa permintaannya bakal ditunaikan. Usai makan malam, dia menunggu kepulangan bapa dari tempat kerja. Waktu berlalu dirasakan terlalu lama. Si ibu berkali-kali menyuruh anak lelaki sulungnya itu tidur,

"Tidurlah sayang, esok nak sekolah. Bapamu itu entah jam berapa pulangnya. Ada apa yang mahu disampaikan? Bagitahu saja pada ibu, nanti ibu khabarkan padanya." Ucap ibu memujuk dengan penuh sayang sambil membelai kepala si anak.

"Tak mau!"

Anak itu membentak,terkejut ibu dek kenyaringan suara anak kesayangannya, Bimbang dengan kelakuan anak yang agak aneh pada malam itu,l ekas-lekas si ibu membelai lagi dengan kata manisnya,

"Baiklah sayang,apa saja yang kamu mahu, ibu turutkan."

Anak itu mencebik, dalam hatinya berkata "Betul sangat la tu. Kita tengok apa kata bapa malam ni"

Tak berani meluahkannya pada ibu. Kasih pada ibu masih mewaraskannya dari mengguriskan perasaan ibu dengan kata-kata setajam itu.

Akhirnya penantian berakhir apabila jam menunjukkan tepat pukul 1 pagi. Si bapa pulang dalam keadaan penuh keletihan. Bau gris menusuk ke hidung anak saat dia memeluk belakang bapa sambil menjerit,

"Bapa!"

Dengan penuh kegirangan membayangkan mimpinya bakal menjadi kenyataan. Si bapa cepat-cepat meleraikan pelukan anak,

"Bapa penat, nak. Nanti bapa mandi dulu ya."

Sambil berlalu pergi meninggalkan anak terpinga-pinga sendirian. Anak lelaki yang tidak puas hati itu tidak mampu lagi memendam keinginannya lantas menjeritkan,

"Saya nak kasut baru!"

Langkah lemah si bapa terhenti mendengar jeritan jujur dari anak lelakinya itu. Dia menoleh dan memandang ke dalam anak mata wiranya itu.

"Saya...saya...nak kasut baru. Kasut lama dah buruk. Semua orang ketawakan saya kat sekolah. Saya tak tahan lagi...Saya bukan minta mainan...Saya nak kasut baru untuk pergi sekolah, itu je..."tergagap-gagap anak itu meneruskan bicara sambil menundukkan kepala, tak mampu menentang panahan mata si bapa.

Ibu yang batuk-batuk di penjuru tamu cuma mampu memerhati dari jauh sambil menahan sebak di dada, mengenangkan betapa anak itu mengidamkan sepasang kasut baru untuk ke sekolah.

Bapa menghampiri anaknya dengan tenang, lama dia mendiamkan diri sebelum bersuara,

"Bapa tak mampu, nak..." dia menahan getar, si anak mula memasamkan muka, tunduk melihat lantai papan yang usang,"Tapi,kalau anak bertegas mahukan kasut itu, bapa boleh berikan, dengan syarat..."

Anak itu mengangkat wajah sugulnya,matanya mula bercahaya.

"Katakan saja, bapa. Saya sanggup!"

Si bapa tersenyum, "Anak harus bantu bapa di bengkel selama 2 minggu, upahnya nanti anak ambillah untuk beli kasut tu"

"Baik, bapa! Saya sanggup! Saya tidur dulu, esok saya mula ya!"

Terus anak itu menyatakan persetujuannya sambil berlalu untuk melelapkan mata dengan penuh harapan bahawa impiannya tak lama lagi bakal direalisasikan. Hari demi hari berlalu, minggu berganti minggu, akhirnya tibalah masa untuk anak mengambil upahnya membantu bapa di bengkel.

Walaupun keletihan kerana setiap petang selepas pulang dari sekolah dia harus bergegas untuk membantu bapa di bengkel, dia tidak peduli demi kasut idamannya itu. Setiap hari dia melalui kedai kasut itu sambil berdoa agar kasut itu tidak dibeli oleh insan lain. Mujurlah doanya dimakbulkan Tuhan.

Akhirnya,hari itu tiba juga. Sebelum ke kedai kasut, dia singgah di bengkel bapa bekerja untuk mengambil upah yang dijanjikan.

"Ini ganjaran buat mu, nak...Atas kesungguhanmu, gunakanlah ia untuk puaskan hatimu itu, anakku..." Si bapa menghulurkan upah pada si anak.

Sebelum berlalu, anak lelaki itu sempat menoleh untuk melihat bapanya. Serentak dengan itu, dia terpandang kasut yang disarung bapa. Kasut yang sepatutnya melindungi kaki bapa yang bekerja siang malam, yang berjalan setiap hari ke tempat kerja, yang menempuh terik jalan tar yang membakar, kini terlalu lusuh, bertampal dan berjahit di sana sini. Dia cuba menghitung,bila kali terakhir bapanya menukar kasut baru, dan sepanjang ingatannya, sejak dia mengenali alam persekolahan, dia tak pernah melihat kasut itu bertukar! Kasut persis itu pernah dilihatnya sebelum ini, digigit anjing di tepi jalan! Hati kecilnya digigit sendu.

Dia menuju ke kedai kasut di pekan,dan dia keluar dengan kotak yang berisi kasut. Senyumnya lebar, senyuman kepuasan. Anak itu melangkahkan kaki ke bengkel tempat bapa bekerja dan menghulurkan kotak itu kepada si bapa. Si bapa lantas membuka kotak kasut tanpa curiga. Alangkah terkejutnya hati seorang bapa melihat kasut yang ada di dalam kotak bukan kasut seorang remaja tetapi kasut untuk seorang dewasa sepertinya.

"Saya tak jadi lah bapa nak beli kasut tu. Kasut ni boleh pakai lagi. Saya jumpa kasut ni kat pekan tadi, nampak sesuai untuk bapa” Si anak senyum.

Mengertilah bapa niat suci anaknya, lantas dipeluk erat anak kecil itu ke dalam dakapannya. Tubir mata bapa gagal menahan empangan air mata dari pecah membanjiri pipi perkasa seorang ketua keluarga.


http://kembaramencaridiri.blogspot.com/2010/06/cerita-kasut.html

Ahad, Ogos 01, 2010

المجادلة

PERLUKAH bertengkar dengan pasangan apabila timbul isu yang mungkin remeh-temeh sehingga boleh mengganggu hubungan?

Melihat daripada sudut berbeza, pertengkaran bahkan pertelingkahan juga ada manisnya.

Sebenarnya ia turut memberi impak positif kepada hubungan suami isteri kerana kadangkala pertengkaran itu bakal mengeratkan lagi hubungan suami isteri.

Pertengkaran sebenarnya adalah proses pasangan suami isteri cuba menyatukan cita rasa, tujuan, keinginan dan cara hidup mengikut kehendak sendiri. Dalam proses terbabit, keengganan satu pihak menyebabkan sebelah pihak lagi memendam perasaan sehingga menyebabkan sebelah pihak lagi tidak puas hati lalu tercetus pertengkaran.

Berikut beberapa petua yang boleh dijadikan renungan buat pasangan untuk mengelak bibit pertengkaran sekali gus menyelamatkan rumah tangga:


# Meluahkan isi hati.


Setiap pasangan perlu berbincang dan meluahkan isi hati masing-masing bagi meredakan permasalahan.
Ada yang enggan berbincang dan lebih rela memendam saja perasaan dengan harapan segalanya akan berubah dengan sendiri dan menjadi baik suatu hari nanti.
Situasi tegang akan menjadi lebih parah apabila salah seorang mengungkit kelemahan pasangan. Sebaliknya, tumpuan hendaklah hanya kepada pokok permasalahan bukan meleret kepada perkara yang tidak berkaitan.
Dalam pada itu, jangan sesekali menggunakan kata-kata kasar ketika bertikam lidah, sebaliknya terus gunakan nama yang sering digunakan. Jika sebelum bergaduh memanggil pasangan 'sayang', teruskan ketika bertengkar.


# Biar apapun gelombang pertengkaran, pastikan ia tidak berlaku di hadapan anak.


Ini penting kerana ia boleh menjejaskan emosi mereka, malah boleh menyebabkan anak membuat persepsi negatif terhadap ibu bapa.
Menjadi asam garam berlaku pertelingkahan dalam hubungan, tetapi dalam apa jua keadaan, ia perlu sentiasa dibatasi dengan kesabaran.


# Emosi.


Jangan sesekali membiarkan emosi menguasai diri dan jangan bertindak menggunakan fizikal seperti memukul atau melemparkan barang kerana ia hanya merugikan diri sendiri sedangkan masalah tidak juga selesai.


Jangan pula sesekali membenarkan orang ketiga masuk campur dalam pertengkaran seperti ibu bapa, mentua ataupun adik-beradik kerana dikhuatiri menyebabkan situasi semakin parah.


# Adat.


Anggaplah pertelingkahan yang berlaku sebagai adat atau asam garam kehidupan yang boleh mematangkan diri masing-masing. Ingatlah, anda dan pasangan adalah dua insan berbeza. Pasangan anda dibesarkan mengikut caranya sejak kecil, manakala anda pula dibesarkan dengan cara tersendiri.


Anda bertemu dengannya setelah sama-sama dewasa, jadi jangan sesekali cuba menjadikan dirinya sama seperti anda. Cuba hormati dengan tindakan yang dilakukan. Jika tidak berkenan hati, luahkan dengan penuh diplomasi dan berikan contoh terbaik untuk dirinya berubah.

# Bertolak ansur.


Jika timbul masalah, sama-sama bekerjasama dalam mengemudi alam perkahwinan.
Selepas bertengkar, jangan biasakan menyendiri atau meninggalkan pasangan kerana ia merugikan. Selesai bertengkar, peluklah pasangan seerat mungkin biarpun kita bersalah. Ungkapkan perkataan maaf dan minta perkara begitu tidak berlaku lagi. Anggaplah pertengkaran sesuatu yang positif kerana membolehkan anda dan pasangan semakin mesra.


# Jangan banyak bercakap.


Ketika bertengkar, hati masing-masing dalam keadaan marah. Ketika marah, pasti perkara yang logik sekalipun tidak diterima kerana masing-masing mahu menegakkan pendapat sendiri. Jika anda sebagai suami mempunyai hak untuk bercakap sekalipun, kurangkan daripada terlalu menegakkan pendapat sendiri.


# Kelemahan pasangan.


Jangan menyebut hal itu kerana setiap orang ada kelemahan masing-masing. Jika anda mengungkitnya, ia turut merangsang pasangan mengungkit kelemahan anda. Semakin lama ia mengundang sesuatu yang lebih parah.


# Jangan tinggikan suara.


Cuba bercakap dengan tenang sehingga isteri anda yang sedang marah akan turut tenang dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah dengan lebih cepat.


# Jangan bertengkar depan makanan atau di tempat tidur.


Ini kerana tempat itu sepatutnya menjadi tempat anda menjamu selera dan bermesra.


# Jangan keluar dari rumah sebelum selesai.


Drama di televisyen sering suami segera meninggalkan rumah apabila bergaduh untuk memudahkan cerita.


Tindakan ini sebenarnya akan menyebabkan isteri ditinggalkan dalam keadaan keliru. Hal ini menyebabkan dia tertekan dan anda perlu ingat anak akan ditinggalkan bersamanya di rumah.

Sumber: Harian Metro - 01.07.10

Khamis, Julai 15, 2010

سايڠ

"Sayang, saya baru membaca sebuah artikel dalam majalah tentang bagaimana memperkuatkan hubungan dan tali pernikahan kita", katanya sambil menunjukkan majalah tersebut.

"Masing-masing kita akan mencatatkan hal-hal yang kurang kita sukai dari pasangan kita. Kemudian, kita akan membahas bagaimana kita mengubah hal-hal tersebut dan membuatkan perkahwinan kita bersama lebih bahagia ...".

Suaminya setuju dan mereka mula memikirkan hal-hal akan tersinggung ketika pasangannya mencatat hal-hal yang kurang baik kerana ia adalah untuk kebaikan mereka bersama. Malam itu mereka sepakat untuk berpisah tidur dan mencatat apa yang terlintas dalam benak mereka masing-masing.

Esok pagi ketika sarapan, mereka sedia membincangkannya.

"Saya akan mulai dulu ya", kata isteri. Ia lalu mengeluarkan senarainya. Banyak
sekali yang ditulisnya, sekitar 3 muka surat.

Ketika ia mulai membacakan satu persatu hal yang tidak dia sukai mengenai diri suaminya, ia memperhatikan bahawa airmata suaminya mulai mengalir.

"Maaf, apakah saya harus berhenti?" tanyanya. "Oh tidak, teruskan ..." jawab suaminya.

Lalu si isteri melanjutkan membacakan semua yang tersenarai, lalu kembali melipat kertasnya dengan manis di atas meja dan berkata dengan bahagia,

"Sekarang giliran abang membacakan senaraimu".

Dengan suara perlahan suaminya berkata, "Aku tidak mencatat sesuatupun di atas kertasku. Aku berfikir bahawa engkau sudah sempurna, dan aku tidak ingin mengubah akan dirimu. Engkau adalah dirimu sendiri. Engkau cantik dan baik bagiku. Tiada satupun daripada peribadimu yang kudapati kurang ..."

Si isteri tersentak dan tersentuh hatinya oleh
pernyataan dan ungkapan cinta serta isi hati suaminya...bahawa suaminya menerimanya apa adanya. Ia menunduk dan menangis ...

Terima kasih sayang! Maaf atas semua kekurangan ...

Isnin, Julai 12, 2010

قط

"Meoww!!!" seekor kucing menjerit kesakitan.

Malam itu malam yang malang buat si kucing. Dia tidur dengan kesakitan dan kemarahan. Perutnya senak disepak tanpa hujung pangkalnya.

"Apa salah aku?" menung si kucing di balik almari.

PETANG ITU

"Kenapa awak lewat fakskan dokumen tersebut?" tanya seorang CEO kepada setiausahanya.

"Err, Pengurus Jualan lewat menyerahkannya kepada saya" jawab beliau. Terketar-ketar.

"Ahhh! Macam-macam alasan awak. Saya bosan mendengarnya. Pergi semula kepada Pengurus Jualan dan betulkan dokumen tersebut. Sudahlah lewat. Salah pula tu!" bentak bos besar.

Marah sungguh.

Setiausahanya dengan muka yang merah padam meninggalkan pejabat beliau menuju kepada Pengurus Jualan.

"Itulah tuan! Tuan yang lewat serahkan dokumen tersebut, saya pula yang kena marah. Dokumen salah pula tu!" kata Setiausaha CEO tersebut.

Pengurus Jualan terkejut.

"Awak kalau nak berurusan dengan saya, ketuk pintu dahulu. Itu pun awak tak tahu ke?" Pengurus Jualan meninggikan suara.

"Ahhh! Sudahlah. Ketuk pintu ke, tak ketuk pintu ke, Tuan tetap lewat serahkan semuanya kepada saya. Ambil dokumen ini dan betulkan semula!" Setiausaha CEO menghempas segenggam dokumen itu ke meja.

Beliau terus meninggalkan Pengurus Jualan.

Sama-sama marah.

Petang itu sungguh tercemar bagi Pengurus Jualan. Geram dengan sikap Setiausaha CEO yang tidak tahu berbudi bahasa. Geram dan marah dirinya diburukkan lagi oleh kesesakan jalanraya luar biasa.

"Aduh! Sempatkah aku kejar siaran Berita malam ini?" Pengurus Jualan sudah bengang.

Kemungkinan besar beliau tidak sempat melihat siaran temuramah siaran Berita TV10 dengannya siang tadi. Tiba di rumah, jam sudah mencecah 8:30 malam. Sebaik sahaja beliau melangkah masuk ke rumah, isterinya dengan wajah berkerut di dahi menunggu di ruang tamu.

"Kenapa dengan awak?" tanya Pengurus Jualan kepada isterinya.

"Abang pakai baju comot sangat di televisyen tadi. Kawan saya telefon. Katanya saya tak jaga makan pakai suami!" kata sang isteri yang sebenarnya mahu bergurau dengan suami.

"Ahhh! Aku banyak masalah, itu pula yang disibukkannya! Makan malam dah siap ke???" tengking si suami yang sedang baran.

Si isteri sangat terkejut dengan amarah suaminya malam itu. Niat asal mahu bergurau berubah menjadi musibah. Tanpa banyak bicara beliau segera menuju ke dapur.

"Mama, tengok lukisan Adam! Cantik tak?" tiba-tiba si anak muncul di dapur dengan sekeping lukisan di tangan.

"Ahhh, sibuk sahaja kamu ni. Lukisan, lukisan, lukisan. Menghabiskan kertas A4 sahaja. Pergi naik atas buat kerja sekolah!" si ibu menengking anaknya.

Adam sungguh terkejut. Tidak sangka lukisannya berakhir dengan kemarahan si ibu.

Tiba-tiba kucing kesayangannya datang menggosok-gosokkan badan di kaki Adam.

"Meowww!!!" kucing itu menjerit.

Adam menyepak si kucing dengan penuh kemarahan.

Soalannya, siapakah sebenarnya yang menyepak si kucing malang itu?

Abu Hurairah radhiyallaahu 'anhu berkata, seorang lelaki datang kepada Nabi sallallaahu 'alayhi wa sallam dan meminta wasiat (nasihat) daripada Baginda. Lalu Baginda sallallaahu 'alayhi wa sallam bersabda:


"Janganlah kamu marah! (Baginda mengulangnya beberapa kali dengan pesan yang sama: Janganlah kamu marah! Janganlah kamu marah! Janganlah kamu marah!" [Hadith riwayat al-Bukhari]


Besarlah pahala suami, isteri, anak, malah majikan, atau setiausahanya yang berjaya memberhentikan musibah berantai ini.


ABU SAIF @ www.saifulislam.com